fb fb fb fb fb

Kapal tentera laut Rusia rosak teruk, Ukraine mengaku lakukan serangan

(Petugas sedang memindahkan mayat orang awam yang terbunuh ketika operasi
tentera Rusia di Bucha, pedalaman Kiev pada 13 April 2022/AFP)

KIEV, 14 April- Selepas lebih sebulan konflik Rusia-Ukraine dan sekutunya Barat, belum ada tanda jelas perdamaian bakal dicapai.

Terbaharu, kapal tentera laut Rusia di Laut Hitam rosak teruk akibat bedilan peluru, memetik laporan media tempatan.

Kerajaan Ukraine mengaku bahawa kapal yang dipanggil “Moskva’ itu terkena peluru berpandu mereka.

Laporan itu turut menyebut, Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan bahawa punca kebakaran sedang dikenal pasti manakala anak-anak kapal telah dipindahkan.

Sebelum itu Gabenor Odessa, Maksym Marchenko memaklumkan, tentera Ukraine telah menyerang kapal berkenaan, menggunakan peluru berpandu.

Moskva dibina ketika era Kesatuan Soviet di Mykolaiv, Ukraine dan mula beroperasi pada awal 1980-an.

Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat mengumumkan pakej bantuan baharu kepada Ukraine bernilai AS$800 juta.

Bantuan itu bagi membiayai peralatan ketenteraan seperti helikopter, howitzer atau meriam dan kenderaan berperisai bagi mengangkut kakitangan atau anggota tentera.

Pakej bantuan itu termasuk peralatan yang sebelum ini, Washington enggan beri kepada Kiev kerana bimbang konflik dengan negara bersenjata nuklear itu akan meningkat.

Sementara itu, Ketua Pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan menyifatkan Ukraine sebagai “lokasi jenayah”.

Karim berkata demikian ketika berada di bandar Bucha, barat Kiev salah satu daripada beberapa buah bandar Ukraine yang Rusia tidak mengaku tenteranya telah melakukan pembunuhan orang awam.

Jelas Karim, "terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa jenayah dalam bidang kuasa mahkamah sedang berlaku. ICC sedang menyiasat dakwaan jenayah perang, jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai dan pencerobohan.”

Di Amerika Syarikat pula, Presiden Joe Biden buat pertama kali menuduh tentera Rusia melakukan pembunuhan beramai-ramai di Ukraine.

“Jelas menunjukkan bahawa Putin (Presiden Vladimir) cuba menghapuskan rakyat Ukraine," katanya kepada pemberita.

Biden turut memberi jaminan kepada rakan sejawatnya, Volodymyr Zelensky  bahawa Washington akan terus menghulurkan sokongan kepada Kiev, kata White House.

Menerusi Twitter, Zelensky menyatakan tentang perbincangan “pakej tambahan pertahanan untuk bantuan makro kewangan ‘bernilai ratusan juta dolar.’


(Moskva, kapal perang Rusia di Laut Hitam. Gambar diambil
pada 3 Ogos 2013/Fail AFP)

Sementara itu, tentera Rusia mengancam untuk menyerang pusat arahan Ukraine di Kiev kerana “kami menyaksikan cubaan tentera Ukraine untuk melakukan sabotaj dan menyerang wilayah Rusia," kata kementerian pertahanan Moscow.

“Jika kes seumpama itu terus berlaku, tentera Rusia akan mengebom pusat yang membuat keputusan tentera termasuk di Kiev, kata kementerian itu.

Rusia menyatakan lebih 1,000 askar Ukraine telah menyerah diri di bandar yang dikepung di tenggara Mariupol selepas pertempuran sengit selama enam minggu di lokasi pelabuhan strategik itu.

Namun pihak Ukraine gagal mengesahkan laporan itu.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata “agak mustahil gencatan senjata global,” kerana PBB masih menunggu jawapan dari Rusia untuk memberi tumpuan kepada cadangan memindahkan orang awam dan menghantar bantuan.

“Ia rayuan kami atas dasar kemanusiaan, tetapi nampaknya agak mustahil,” kata Guterres.

Bagi negara jiran, para pemimpin Poland, Estonia, Latvia dan Lithuania telah ke Kiev menaiki kereta api sebagai tanda solidariti kepada Presiden Ukrainian, Volodymyr Zelensky.

Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier turut merancang melakukan perkara sama, namun Kiev menyatakan dia “tidak diperlukan” sebaliknya sumber rapat dengan Zelensky memberitahu, Kiev mahukan Canselor Jerman, Olaf Scholz.

Berhubung sekatan, Britain menyatakan Kesatuan Eropah merancang untuk mengenakan sekatan terhadap 178 pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.

Pasukan pemisah itu didakwa melakukan penentangan terhadap tentera Ukraine di Mariupol.

Seorang pegawai di bandar Dnipro, tengah Ukraine berkata lebih 1,500 mayat tentera Rusia disimpan di bilik mayat.

Timbalan Datuk Bandar Dnipro, Mikhail Lysenko memberitahu wartawan bahawa dia berharap “ para ibu warga Rusia boleh datang dan ‘menjemput’ anak lelaki mereka.” -AFP

Media Baharu