ISTANBUL, 2 Ogos - Kapal pertama Ukraine yang membawa lebih 26,000 ribu tan metrik bijirin telah berlepas dari Pelabuhan Odesa pada Isnin.
Ia seperti yang termaktub dalam perjanjian eksport bijirin antara Turkiye, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Rusia dan Ukraine baru-baru ini.
Kapal kargo kering Razoni yang berdaftar di Sierra Leone itu meninggalkan Odesa pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan dan dijangka tiba di Istanbul pada 2 Ogos untuk pemeriksaan sebelum meneruskan perjalanannya ke Tripoli, Lubnan.
Turkiye, PBB, Rusia dan Ukraine menandatangani perjanjian pada 22 Julai lalu untuk membuka semula tiga pelabuhan Ukraine iaitu Odesa, Chernomorsk dan Yuzhny.
Ini bagi penghantaran bijirin yang tertangguh di pelabuhan itu berikutan perang Rusia-Ukraine yang kini memasuki bulan keenam.
Bagi menyelia eksport bijirin Ukraine, pusat penyelarasan bersama di Istanbul dibuka secara rasmi pada Rabu, yang terdiri daripada wakil Turkiye, PBB, Rusia dan Ukraine.-AFP