PHNOM PENH, 13 Disember- Sebuah kapal perang Amerika Syarikat (AS) akan berlabuh di Kemboja minggu depan dan merupakan lawatan pertama ke negara itu dalam tempoh lapan tahun.
Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan berkata lawatan USS Savannah ke bandar pelabuhan selatan Sihanoukville bertujuan untuk memperkukuh, mengembangkan persahabatan serta mempromosikan kerjasama dua hala antara Kemboja dan Amerika Syarikat.
"Anak kapal yang terdiri daripada 103 kru akan bertemu dengan komander pangkalan Ream dan menyertai aktiviti untuk meningkatkan pertukaran budaya dan kerjasama," menurut kenyataan itu.
Hubungan Washington dengan Phnom Penh telah merosot selama beberapa tahun dan menyaksikan China melaburkan berbilion dolar dalam projek infrastruktur semasa pemerintahan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.
Sejak 2022, China telah membiayai pengubahsuaian pangkalan tentera laut Ream, kira-kira 30 kilometer dari Sihanoukville yang sebahagiannya dibina menggunakan dana AS pada asalnya.
Washington menyatakan bahawa pangkalan Ream boleh memberikan Beijing kedudukan strategik dan penting di Teluk Thailand yang berdekatan dengan Laut China Selatan yang dipertikaikan. Sebahagian besarnya dituntut oleh China.
Namun, pegawai Kemboja berulang kali menafikan bahawa pangkalan itu akan digunakan oleh mana-mana kuasa asing.
Kapal perang China pertama kali berlabuh di pangkalan itu pada Disember tahun lalu dan pada bulan Mei, dua kapal berlabuh di pelabuhan Sihanoukville sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan bersama terbesar yang pernah diadakan oleh China dan Kemboja.
Kementerian Pertahanan Kemboja berkata 27 kapal tentera laut AS telah melawat negara itu sejak 2007, namun lawatan lima hari minggu depan akan menjadi yang pertama dalam tempoh lapan tahun.
Pengumuman ini, susulan lawatan Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin pada bulan Jun yang bertujuan untuk memulihkan hubungan dengan sekutu rapat China itu.
Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn dan pegawai kedutaan AS Bridgette Walker memuji pemulihan hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara.-AFP