fb fb fb fb fb

Israel serang kem perlindungan Nuseirat, 30 rakyat Palestin maut

Foto AFP

CAIRO, 13 Disember- Sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin terkorban dalam serangan Israel di kem perlindungan Nuseirat.

Menurut Kementerian Kesihatan kendalian Hamas serangan tersebut turut menyebabkan 50 penduduk Gaza cedera.

Serangan lewat malam tadi menjadikan jumlah kematian pada hari tersebut lebih 60 orang.

Kem Nuseirat menjadi tempat perlindungan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan Israel-Hamas.

Nuseirat adalah salah satu daripada lapan kem sejarah di Gaza yang pada asalnya menempatkan pelarian Palestin dari perang 1948. Kini, ia merupakan kawasan bandar padat yang dihuni oleh penduduk yang kehilangan tempat tinggal dari seluruh Gaza.

Semalam, dua serangan Israel di selatan Gaza mengorbankan 13 rakyat Palestin yang menurut pasukan perubatan dan Hamas adalah sebahagian daripada pasukan yang melindungi trak bantuan kemanusiaan.

Sementara itu, Hamas melaporkan serangan tentera Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 700 anggota polis yang ditugaskan untuk mengawal trak bantuan di Gaza sejak perang bermula pada Oktober tahun lalu.

Konflik berterusan Israel-Hamas telah mengakibatkan Gaza hampir musnah, lebih 44,000 penduduk Palestin terkorban serta lebih 2.3 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal.- REUTERS

ROSLINA BINTI DIN