fb fb fb fb fb

Kapal milik UK terkena tembakan roket di Laut Merah

Foto hiasan

LONDON, 3 Disember- Sebuah kapal milik United Kingdom (UK) yang melalui Laut Merah dilaporkan terkena tembakan roket, kata kumpulan keselamatan maritim berpangkalan di UK pada Ahad.

Bagaimanapun agensi lain melaporkan ia berkemungkinan aktiviti dron di kawasan itu.

Kapal yang tidak dinamakan itu 'ditembak roket' semasa belayar ke selatan sekitar 35 batu nautika dari pantai barat Yaman, kata firma keselamatan maritim Ambrey.

"Kapal yang terjejas memberikan panggilan kecemasan berkaitan dengan serangan peluru berpandu," tambah syarikat yang berpangkalan di UK itu.

Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO), dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Britain, berkata ia menerima "laporan aktiviti Sistem Udara Tidak Berkru (UAS) termasuk potensi letupan... yang berasal dari arah Yaman."

Ia menasihatkan kapal di kawasan itu supaya "berhati-hati".

Insiden itu dilaporkan terjadi ketika ketegangan memuncak di Laut Merah dan perairan sekitarnya selepas pemberontak Huthi yang disokong Iran merampas sebuah kapal kargo berkaitan Israel, Galaxy Leader, bulan lalu.

Dalam beberapa hari Dua peluru berpandu turut dilancarkan dari kawasan yang dikawal pemberontak Huthi di Yaman beberapa hari lalu.

Menurut Pentagon ia menuju ke 10 batu nautika dari pemusnah AS, USS Mason.

Huthi telah melancarkan beberapa siri serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel berikutan kekejaman yang dilakukan.

Peningkatan dalam insiden maritim mendorong Menteri Luar G7 pada mesyuarat awal minggu ini untuk menggesa pemberontak menghentikan ancaman terhadap perkapalan antarabangsa dan membebaskan Galaxy Leader.

Dalam serangan terbaru, Ambrey berkata kapal yang disasarkan dalam perjalanan dari Amerika Syarikat ke Singapura singgah di Terusan Suez lima hari lalu

"Kapal itu dilaporkan terkena roket dan anak kapal berundur ke benteng," tambahnya.

"Banyak kapal melalui lokasi kejadian hari ini tetapi tiada pergerakan luar biasa diperhatikan."

Ambrey berkata pemilikan dan pengurusan kapal yang diserang itu dikaitkan dengan Dan David Ungar, warga Britain yang disenaraikan sebagai penduduk Israel dalam direktori syarikat utama Britain.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI