fb fb fb fb fb

Kapal kargo karam, sembilan anak kapal hilang

Paras air sungai Xindian meningkat selepas dilanda Taufan Gaemi/ AFP

TAIPEI, 25 Julai- Sebuah kapal kargo karam di pantai selatan Taiwan, dengan sembilan anak kapal Myanmar yang memakai jaket keselamatan hilang selepas meninggalkan kapal, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Ribut melanda susulan Taufan Gaemi menghalang usaha menyelamat anak kapal, kata Ketua Agensi Bomba Kebangsaan Taiwan Hsiao Huan-chang dalam satu taklimat.

"Mereka (anak kapal) jatuh ke dalam laut dan terapung di sana," kata Hsiao sambil menambah bahawa penyelamat menghubungi kapal kargo Taiwan berhampiran untuk membantu mereka.

Namun Hsiao tidak menyatakan bila kapal berbendera Tanzania itu karam, tetapi berkata kapal penyelamat tiba di kawasan itu pada pukul 8.35 pagi waktu tempatan.

"(Apabila kapal Taiwan tiba) jarak penglihatan di tempat kejadian sangat rendah dan angin terlalu kuat," katanya.

"Apabila keadaan cuaca mengizinkan, kami akan segera menghantar kapal atau helikopter untuk menyelamatkan anak kapal berkenaan tetapi pada masa ini usaha itu tidak dapat dilakukan."

Pihak berkuasa berkata Taufan Gaemi adalah taufan paling kuat melanda Taiwan dalam tempoh lapan tahun dengan kemuncak kelajuan angin berada pada 190 kilometer.

Sekurang-kurangnya dua penduduk di Taiwan terbunuh akibat taufan itu, termasuk seorang wanita dihempap struktur bangunan yang runtuh.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI