MANILA, 12 Oktober – Sebuah kapal pengawal pantai China dilaporkan telah merempuh kapal milik Biro Perikanan Filipina di kawasan perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan.
Menurut pihak berkuasa Filipina, insiden berlaku sekitar 9.15 pagi waktu tempatan berhampiran Pulau Thitu, sebahagian daripada Kepulauan Spratly yang menjadi rebutan kedua belah pihak.
Pihak Pengawal Pantai Filipina memaklumkan kapal China Coast Guard terlebih dahulu menembak meriam air ke arah kapal BRP Datu Pagbuaya sebelum merempuh bahagian belakang kapal tersebut yang menyebabkan kerosakan kecil.
Bagaimanapun, Beijing menolak dakwaan itu dan menuduh Manila sebagai punca kejadian.
Insiden itu menambah siri ketegangan yang berlarutan antara Beijing dan Manila di kawasan yang menjadi laluan utama lebih 60 peratus perdagangan maritim dunia.
Susulan itu, Jurucakap Kementerian Luar Filipina, Angelica Escalona, mengesahkan satu protes diplomatik rasmi akan difailkan kepada Beijing.