fb fb fb fb fb

Hubungan Afghanistan, Pakistan tegang

Foto Arkib

KABUL, 12 Oktober – Ketegangan antara Kabul dan Islamabad kian memuncak apabila tentera kedua-dua negara saling berbalas serangan dalam pertempuran sengit di sempadan.

Ketika ini tiada laporan yang jelas berhubung angka kematian dan kecederaan apabila tentera Afghanistan dan Pakistan mengeluarkan statistik berbeza.

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, mendakwa 58 tentera Pakistan terbunuh dan 30 lagi cedera, manakala sembilan anggota Taliban turut terkorban dalam pertempuran tersebut.

Manakala tentera Pakistan melaporkan seramai 23 tenteranya maut dan lebih 200 anggota Taliban serta kumpulan sekutu mereka terbunuh.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengecam tindakan provokasi tersebut dan menegaskan negaranya akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman.

Beliau menuduh Taliban membenarkan wilayah Afghanistan digunakan oleh kumpulan pengganas untuk melancarkan serangan terhadap Pakistan.

Dalam pada itu, Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi, yang kini berada di India, berkata operasi yang dijalankan te;ah berjaya mencapai matlamat dan kini serangan dihentikan sepenuhnya selepas Qatar dan Arab Saudi menggesa kedua-dua pihak menghentikan pertempuran.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN