fb fb fb fb fb

Kapal bantuan ke Gaza diserang dron Israel di perairan antarabangsa – aktivis

FOTO-AFP

VALETTA, 2 Mei – Sebuah kapal misi bantuan ke Gaza diserang dron bersenjata Israel ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Malta, awal pagi Jumaat.

Menurut kumpulan aktivis yang mengendalikan kapal itu, serangan berlaku pada pukul 12.23 pagi waktu Malta, melibatkan kapal Conscience, sebahagian daripada misi Freedom Flotilla Coalition.

Serangan berkenaan dilapor menyebabkan kebakaran serta kerosakan serius pada bahagian hadapan kapal tidak bersenjata itu, dipercayai berpunca daripada peluru
berpandu yang menyasarkan generator kapal berkenaan.

Kapal tersebut hilang kuasa sepenuhnya dan berada dalam keadaan berisiko untuk karam. Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

Susulan isyarat kecemasan yang dihantar, sebuah kapal dari Cyprus telah dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala pihak berkuasa Itali turut menghantar bantuan tambahan.

Misi berkenaan disertai aktivis dari 21 negara dan bertujuan mencabar sekatan
Israel terhadap Gaza serta menghantar bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan ke wilayah itu.

Sehingga kini, pihak Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN