MIAMI, 28 Disember - NASA mengesahkan pada Jumaat bahawa kapal angkasa Parker Solar Probe "selamat" dan beroperasi seperti biasa selepas berjaya menghampiri matahari.
Pada 24 Disember, kapal angkasa tersebut melepasi jarak 3.8 juta batu (6.1 juta km) dari permukaan Matahari, terbang ke dalam atmosfera luar yang dikenali sebagai korona, dalam usaha untuk membantu saintis memahami lebih lanjut mengenai bintang terdekat Bumi.
Menurut NASA, pasukan operasi di Makmal Fizik Gunaan Maryland menerima isyarat dari kapal angkasa tersebut sebelum tengah malam Khamis lalu.
Data telemetry terperinci mengenai status kapal angkasa itu dijangka dihantar pada 1 Januari.
Kapal angkasa tersebut bergerak dengan kelajuan sehingga 430,000 batu sejam (692,000 km/j) dan mengharungi suhu yang mencecah 1,800 darjah Fahrenheit (982 darjah Celsius), menurut laman web NASA.
“Misi ini membolehkan Parker Solar Probe mengambil ukuran yang akan membantu saintis memahami bagaimana bahan di kawasan tersebut dipanaskan hingga jutaan darjah, mengesan asal usul angin solar, dan mengenal pasti cara zarah bertenaga dipercepatkan hampir pada kelajuan cahaya,” kata agensi tersebut.
Dr. Joseph Westlake, pengarah heliofizik NASA, berkata "Kami sedang menulis semula buku teks mengenai cara Matahari berfungsi dengan data dari probe ini."
Misi ini yang dirancang sejak tahun 1950-an, dianggap sebagai pencapaian besar dalam teknologi untuk memahami bagaimana Matahari beroperasi.
Parker Solar Probe, yang dilancarkan pada 2018, telah beransur-ansur mendekati Matahari menggunakan lintasan Venus untuk menariknya lebih dekat ke pusat sistem suria.
Westlake berkata pasukan tersebut kini bersedia untuk lebih banyak lintasan dalam fasa misi yang diperluaskan, dengan harapan untuk menangkap peristiwa unik.-REUTERS