fb fb fb fb fb

Kanak-kanak ditikam cetus rusuhan di Dublin

Sebuah bas terbakar semasa demonstrasi selepas kejadian tikaman yang menyebabkan beberapa kanak-kanak cedera di Dublin/FOTO REUTERS

DUBLIN, 24 November - Lima cedera termasuk tiga kanak-kanak dalam serangan pisau di Dataran Parnell Dublin semalam.

Ini sekali gus mencetuskan rusuhan di pusat bandar dengan motif serangan belum dikenal pasti sama ada serangan tersebut berkaitan dengan keganasan.

Rentetan itu, pengangkutan awam digantung dan pesakit juga dinasihatkan tidak ke hospital bersalin berdekatan kecuali benar-benar perlu selepas pertempuran antara polis rusuhan dan penunjuk perasaan anti-pendatang yang tiba di tempat kejadian serangan bersebelahan jalan raya utama O'Connell Street.

Sebuah bas dua tingkat dibakar di hadapan patung Daniel O'Connell, kereta polis turut dibakar, tingkap hotel Holiday Inn juga dipecahkan dan restoran McDonalds berhampiran serta sebuah kedai Footlocker juga dirompak.

Menurut Pesuruhjaya Polis, Drew Harris, kejadian itu adegan yang memalukan yang didorong oleh ideologi sayap kanan yang terbabit dalam keganasan serius.

Seramai 400 pegawai polis dikerahkan untuk membantu ketenteraman awam.

Dilaporkan sebelum ini rusuhan seperti itu hampir tidak pernah berlaku di Dublin.

Kerajaan di negara itu sedang mengkaji semula keselamatan di peringkat parlimen selepas protes baru-baru ini.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun menerima rawatan kecemasan selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam.

Manakala seorang lelaki berusia lewat 40-an, juga dirawat kerana kecederaan serius kemudian ditahan polis.

Polis berkata lelaki itu dilihat menyerang beberapa orang di Dataran Parnell Dublin sejurus selepas kejadian serangan.

Dalam pada itu, seorang wanita berusia 30-an turut dirawat kerana mengalami kecederaan serius.

Dilaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mengalami kecederaan kurang serius dan telah dibenarkan keluar dari hospital. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN