fb fb fb fb fb

Gencatan senjata terlalu lewat – penduduk Gaza

Poster pejuang Palestin yang terkorban dikibar di kem Pelarian Balata, Tebing Barat/Foto AFP

GAZA, 24 November –Gencatan senjata konflik Israel – Hamas selama empat hari bermula hari ini (Jumaat waktu tempatan) dengan pembebasan tahanan daripada kedua-dua pihak, langkah amat perlu selepas tujuh minggu konflik yang telah menyebabkan ribuan penduduk Gaza terkorban.

Selepas rundingan yang panjang susulan beberapa perbincangan dan penangguhan, gencatan sepatutnya bermula pada pukul 7:00 pagi Jumaat waktu tempatan.

Gencatan senjata itu akan disusuli dengan pembebasan tahanan warga Palestin dari penjara Israel, namun tidak dinyatakan jumlah mereka, sebaliknya seramai 13 orang tahanan akan dibebaskan dari Gaza, memetik kenyatan pasukan pendamai Qatar.

Bagi lebih dua juta penduduk Gaza, perjanjian itu mungkin dapat menghentikan sementara pengeboman Israel yang telah dilakukan tanpa henti sejak 7 Oktober lalu.

Menurut Hamas tindakan kejam rejim Israel itu telah menyebabkan kira-kira 15,000 penduduk terbunuh dan jutaan malah ratusan ribu atau tidak terkira penduduk hilang tempat tinggal.

- Terlalu lewat -

Bagi penduduk Palestin, tindakan menguatkuasakan gencatan senjata sudah terlalu lewat.

“Penduduk yang hidup di sini sudah mati," kata Fida Zayed kepada AFP, yang anaknya Udai berusia 20 tahun terbunuh dalam serangan udara baru-baru ini.

“Kata-kata akhir yang diungkapkan kepada saya adalah, “tidak sabar menanti gencatan senjata bermula Jumaat, Dia meminta saya menyediakan nasi lauk ayam.”

“Saya berharap saya dan anak saya mati disini, supaya kami tidak berasa sedih antara satu sama lain," katanya.

Menurut Pasukan pengaman Qatar, kumpulan pertama 13 tahanan yang akan dibebaskan adalah wanita dan kanak-kanak Israel dari keluarga sama.

Sekurang-kurangnya 50 tahanan dijangka akan dibebaskan dalam tempoh empat hari gencatan senjata dikuatkuasakan.

Pihak Israel telah menyiapkan pasukan pakar trauma dan perubatan bersama pasukan tentera terlatih khas, dan telah berjanji kepada rakyatnya untuk memastikan mereka selamat dan turut membawa makanan kegemaran kanak-kanak, termasuk pizza.

Warga Palestin yang ditahan di penjara Israel juga akan dibebaskan pada Jumaat. Menurut Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari, senarai nama telah diluluskan, namun tidak mendedahkan jumlah mereka yang akan dibebaskan.

Perjanjian itu menetapkan "gencatan senjata lengkap tanpa serangan dari udara atau darat" dan penerbangan dron untuk "memastikan pembebasan tahanan berlaku dalam keadaan atau suasana selamat ", kata Majed Al Ansari.

Pihak Hamas telah mengesahkan gencatan akan bermula pada 7:00 pagi bawah perjanjian yang turut bertujuan untuk memberikan bantuan kepada penduduk Gaza yang kini terpaksa bergelut untuk meneruskan kehidupan dengan kekurangan bekalan makanan, air dan bahan api termasuk elektrik.

Menurut Hamas tiga tahanan Palestin akan dibebaskan bagi setiap seorang daripada tebusan Israel yang dibebaskan.

- Rundingan berterusan -

Menurut seorang pegawai Israel kepada AFP yang namanya tidak mahu didedahkan, tahanan Palestin akan dibebaskan dari tiga penjara di Israel dan kawasan yang diduduki di Tebing Barat dan kemudian akan dibawa ke kem tentera menaiki bas. Mereka dijangka akan dibebaskan pada waktu petang.

Kebanyakan mereka dari Tebing Barat dan lima daripada mereka dari Semenanjung Gaza.

Pemimpin dunia sememangnya mengalu-alukan gencatan senjata itu dan berharap akan berterusan demi keamanan di Palestin sekali gus menamatkan konflik dan perang.

"Ini (gencatan senjata) tidak boleh hanya berlaku seketika sebelum pembunuhan beramai-ramai bermula sekali lagi," kata Riyad Mansour, Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kepada Majlis Keselamatan.

Bagaimanapun pihak Israel sudah menyatakan gencatan senjata itu adalah sementara.

"Kami tidak menamatkan perang. Kami akan meneruskan sehingga kami menang," Ketua Staf Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi, kepada pasukannya di Gaza. -AFP

MAT YUNUS BIN SABRI