fb fb fb fb fb

Kanak-kanak diselamatkan selepas 60 jam tanah runtuh di Filipina

Kanak-kanak itu terselamat di kampung Masara di selatan pulau Mindanao/ AFP

MANILA, 9 Februari- Seorang kanak-kanak perempuan diselamatkan dari menjadi mangsa tanah runtuh, 60 jam selepas hujan melanda sebuah perkampungan perlombongan emas di selatan Filipina.

Kanak-kanak yang umurnya tidak didedahkan itu ditemui ketika penyelamat menggunakan penyodok untuk mencari mangsa yang terselamat di kampung Masara di selatan pulau Mindanao, kata pegawai agensi bencana Edward Macapili dari wilayah Davao de Oro kepada AFP.

"Ia satu keajaiban. Itu memberi harapan kepada penyelamat. Ketahanan kanak-kanak biasanya kurang daripada orang dewasa, namun kanak-kanak itu terselamat," kata Macapili.

Tanah runtuh itu melanda pada malam Selasa, memusnahkan rumah dan menenggelamkan tiga bas untuk mengambil pekerja dari lombong emas.

Anggota penyelamat berhadapan masa dan cuaca yang mencabar untuk mencari mangsa masih hidup dalam keadaan lumpur tebal ketika hujan turun membasahi kawasan itu hari ini.

Setakat ini dilaporkan 11 orang maut dan lebih 100 orang masih hilang.

Tanah runtuh kerap berlaku kebanyakan di negara kepulauan disebabkan oleh rupa bumi yang bergunung-ganang, hujan lebat, dan penebangan hutan yang berleluasa akibat perlombongan, pembakaran hutan serta pembalakan haram. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI