BAITULMAQDIS, 9 Februari- Kira-kira 30 roket dilepaskan ke utara Israel dari Lubnan, dalam serangan awal lewat malam tadi hingga awal pagi ini.
Ia susulan serangan dron Israel ke atas sebuah kereta di selatan Lubnan yang mencederakan seorang komander kumpulan Hizbullah semalam.
"Kami mengesahkan bahawa kira-kira 30 roket ditembak dari Lubnan ke arah kawasan Ein Zeitim dan Dalton di utara Israel," kata jurucakap tentera.
Serangan itu berlaku di salah satu jalan utama masuk ke bandar Nabatiyeh, jauh dari wilayah sempadan yang menyaksikan pertempuran hampir setiap hari sejak perang Israel-Palestin bermula 7 Oktober lalu.
Agensi Berita Nasional Lubnan memaklumkan bahawa kenderaan itu terbakar selepas terkena peluru berpandu yang dilepaskan oleh dron Israel ketika ia memasuki bandar itu pada kira-kira 4:15 petang (1415 GMT).
Tentera Lubnan menutup jalan utama di mana serangan itu berlaku.
Terdahulu, Hizbullah berkata ia menyasarkan ibu pejabat briged di bandar sempadan Israel, Kiryat Shmona.
Ia berkata pejuangnya 'menyasarkan pangkalan kawalan udara Meron dengan peluru berpandu Falaq' sebagai tindak balas kepada serangan Israel 'ke atas kampung dan orang awam'.
Tentera Israel berkata ia 'berjaya memintas sasaran udara yang mencurigakan dari Lubnan ke utara Israel'.
Jelasnya, ia melancarkan serangan udara menyasarkan markas Hizbullah termasuk sebuah trak berisi senjata, sebuah infrastruktur pertubuhan itu dan pos tentera di Khiam dan Kfar Hamam.
Ketua Tentera Udara Israel, Tomer Bar, memberi amaran bahawa sekiranya berlaku perang di sempadan Lubnan, 'serangan serentak besar-besaran lagi ketara ke arah ratusan sasaran di pedalaman Lubnan akan dilancarkan termasuk Tyre, Sidon, Beirut dan Lembah Bekaa'.
Israel sudah berulang kali mengebom perkampungan di sempadan Lubnan, membunuh 227 mangsa, kebanyakannya pejuang Hizbullah selain 27 orang awam, menurut kiraan AFP.
Sementara di Israel seramai 15 orang terbunuh di kawasan sempadan utara, termasuk sembilan askar dan enam orang awam.
Pertukaran serangan mencetuskan kebimbangan perang dahsyat 2006 antara Israel dan Hizbullah akan berulang, sekali gus meningkatkan ketegangan di Asia Barat. - AFP