fb fb fb fb fb

Raja Charles III berada dalam keadaan sangat baik - Ratu Camilla

FOTO AFP

LONDON, 9 Februari- Raja Britain Raja Charles III ketika ini berada dalam keadaan yang sangat baik.

Perkara itu dimaklumkan Permaisuri Ratu Camilla dalam perkongsian pertamanya sejak Raja Charles disahkan menghidap kanser.

Camilla turut berkata Charles tersentuh dengan mesej sokongan dan doa-doa daripada rakyat jelata.

Pewaris takhta, Putera William turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas ucapan dan doa mereka kepada bapanya dan isterinya, Kate yang turut selesai menjalani pembedahan baru-baru ni.

Pada 16 Januari lalu, Kate, 42, menjalani pembedahan perut dan kemudian menghabiskan dua minggu di hospital untuk rawatan.

Dalam masa yang sama, Charles, 75, telah menjalani rawatan prostat, sebelum Istana Buckingham mengumumkan pada Isnin bahawa baginda menghidap kanser.

Tanggungjawab monarki kini terletak kepada kerabat diraja yang lain terutama William dan Camilla apabila Charles mengumumkan menangguhkan tugas awam.

Charles ditabalkan sebagai raja pada 6 Mei 2023 susulan kemangkatan Ratu Elizabeth, pada 8 September 2022, selepas menjadi pewaris paling lama berkhidmat dalam sejarah Britain.

ZEHRA BINTI ZAMBRI