fb fb fb fb fb

300,000 berisiko akibat kekurangan makanan di Gaza- PBB

Kanak-kanak Palestin menunggu untuk mendapatkan bantuan makanan di pusat sumbangan di kem pelarian di Rafah / AFP

GAZA, 9 Februari- Ratusan ribu nyawa rakyat terancam di utara dan tengah Gaza kerana kekurangan makanan, menurut agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA).

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini berkata kali terakhir agensi itu dibenarkan menghantar bekalan ke kawasan itu lebih dua minggu lalu iaitu pada 23 Januari lalu.

Agensi lain yang menyediakan bantuan kemanusiaan juga dilaporkan disekat untuk menghantar bantuan ke wilayah Palestin, yang telah kepung Israel sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober.

"Sejak awal tahun, separuh daripada permintaan misi bantuan kami ke utara telah ditolak, di mana orang ramai dipercayai berada di ambang kebuluran.

“Sekurang-kurangnya 300,000 orang yang tinggal di kawasan itu bergantung kepada bantuan kami untuk kelangsungan hidup mereka," tulis Lazzarini di aplikasi X.

Israel, yang telah mengepung wilayah kecil berpenduduk padat itu, mengarahkan penduduk yang tinggal di utara dan tengah Gaza untuk bergerak ke selatan.

Lebih separuh daripada anggaran 2.4 juta penduduk Gaza kini berkumpul di bandar Rafah di selatan, di mana Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah mengarahkan tentera bersiap sedia untuk menyerang.

Thomas White, pengarah hal ehwal UNRWA di Gaza, berkata kini terdapat "kebimbangan besar" mengenai serangan yang akan berlaku di Rafah, di mana agensi itu mendasarkan operasinya untuk seluruh Semenanjung Gaza.

“Ia akan menjadi sangat sukar untuk menguruskan operasi bantuan jika kami terpaksa berpindah dari Rafah. Kami sedang bergelut untuk memenuhi permintaan rakyat sekarang,” katanya kepada Al Jazeera English.

“Jika terdapat ratusan ribu orang bergerak lagi, kami tidak mempunyai sumber untuk menyokong mereka tetapi secara operasi kami tidak akan dapat menjalankan operasi dengan berkesan atau selamat dari bandar yang diserang oleh tentera Israel," ujar Thomas lagi.

Ketua agensi kemanusiaan PBB OCHA di Gaza, Georgios Petropoulos berkata wilayah itu sedang menjadi 'tanah terbiar kelaparan'

"Agensi bantuan telah disekat, manakala beberapa trak yang berjaya melaluinya dikerumuni penduduk di mana di utara Gaza berada "di ambang kebuluran", katanya kepada AFP.

"Mereka berkumpul dengan trak dan kenderaan lain yang membawa barang kadang-kadang beribu-ribu, dan memunggahnya dalam beberapa minit," tambahnya.

Seorang wartawan AFP pada Rabu menyaksikan ratusan lelaki menunggu konvoi trak bantuan di selatan Bandar Gaza di jalan utama dari utara ke selatan.

Katanya, apabila mereka melihat kenderaan tentera Israel mara ke arah mereka, ramai yang melarikan diri tetapi yang lain terus bergerak ke arah konvoi. Beberapa orang cedera akibat tembakan dan dibawa ke hospital.

World Central Kitchen, sebuah pertubuhan yang menyediakan bantuan makanan, juga melaporkan hanya boleh sampai ke utara Gaza "beberapa kali sahaja setiap minggu".

Mereka kini mengambil dua trak - satu mengangkut makanan untuk hospital, dan satu lagi untuk menghantar makanan kepada orang ramai di laluan itu, katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken, dalam lawatan ke rantau itu minggu ini, membuat rayuan baharu untuk lebih banyak bantuan ke Gaza.

Israel mendakwa Hamas, yang mengendalikan Gaza, mengalihkan bantuan untuk tujuannya sendiri bagi memanjangkan konflik selama lima bulan. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI