PERANCIS, 2 Januari- Kanak-kanak yang menaiki pengangkutan awam di Perancis diwajibkan memakai pelitup separuh muka bermula Isnin ini.
Arahan itu melibatkan mereka yang berusia enam tahun ke atas.
Keputusan itu diumumkan kerajaan Perancis semalam (Sabtu) sebagai usaha menangani penularan coronavirus terutama varian Omicron.
Pelitup separuh muka sebelum ini hanya diwajibkan untuk mereka yang berusia 11 tahun ke atas sahaja.
Perdana Menteri, Jean Castex turut mengumumkan larangan minuman dan makanan ke atas pengangkutan awam selama 3 minggu.
Menurut Jurucakap pengendali tren nasional SNCF, penumpang tidak akan dibenarkan menanggalkan pelitup separuh muka termasuk perkhidmatan rentas sempadan iaitu Thalys dan Eurostar.
Dalam perkembangan sama, perkhidmatan kafe juga akan digantung sehingga 23 januari.
Kes harian Covid-19 di Perancis terus mencatatkan rekod dari hari ke hari malah pada Jumaat pihak berkuasa mengumumkan 232 ribu 200 kes baharu sekaligus tertinggi sejak pandemik melanda.