FOTO AFP
MANILA, 13 Januari - Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh selepas sebuah trak kecil yang sesak dengan pengunjung parti termasuk kanak-kanak, terbalik di selatan Filipina.
Ketua Polis Perbandaran Balingasag, Mejar Teodoro De Oro berkata, kenderaan itu adalah satu daripada tiga kenderaan yang berkonvoi ke pusat peranginan di pulau Mindanao untuk pesta Krismas.
"Nahas berlaku apabila pemandu hilang kawalan selepas brek gagal berfungsi ketika menuruni jalan berbukit.
Kira-kira 50 orang berada di dalam trak itu ketika terbabas dan menghentam sebatang pokok sebelum terbalik ke atas timbunan batu," katanya.
De Oro memaklumkan, antara yang maut termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan polis sedang mengesahkan tiga lagi kematian, manakala puluhan penumpang lain cedera.
Pemandu trak yang turut cedera, cuba bersembunyi selepas menerima rawatan namun ditahan dan akan berhadapan pertuduhan.
Nahas jalan raya yang membawa maut adalah perkara biasa di Filipina.
Ia disebabkan pemandunya kerap melanggar peraturan dan kenderaan tidak diselenggara dengan baik atau terlebih muatan. -AFP