fb fb fb fb fb

2,000 tentera pengaman Rusia berundur dari Kazakhstan

FOTO AFP



ALMATY, 13 Januari -
Lebih 2,000 tentera diketuai Rusia mula berundur dari Kazakhstan selepas dikerahkan sebagai pasukan pengaman ketika protes berhubung kenaikan harga minyak bertukar ganas dan meragut berpuluh-puluh nyawa.

Keputusan menghantar pasukan itu sebelum ini, merupakan yang pertama bagi Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) yang diketuai Moscow.

Pada majlis menandakan berakhirnya misi CSTO, tentera berbaris sambil lagu dari setiap enam negara anggota CSTO dimainkan sebelum ucapan rasmi dimulakan.

Komander Kontinjen CSTO, Jeneral Rusia Andrei Serdyukov dalam ucapanya berkata, operasi pengaman telah berakhir dan tugas telah dilaksanakan sejak tentera dari Rusia, Belarus, Armenia, Tajikistan dan Kyrgyzstan dihantar pada 6 Januari lalu ke lokasi krisis.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia berkata, pasukan pengaman itu mula memuatkan peralatan dan barangan ke dalam pesawat tentera aeroangkasa Rusia.

Rabu lalu, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev menyatakan, penglibatan tentera diketuai Rusia memainkan peranan yang sangat penting bagi menstabilkan keadaan di negara itu. -AFP

Media Baharu