Ottawa, 27 Ogos- Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengumumkan tarif 100 peratus ke atas import kenderaan elektrik (EV) buatan China, selaras langkah Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) bagi menghalang lambakan kereta bersubsidi dari China ke Amerika Utara.
Trudeau mendakwa China tidak mematuhi piawaian alam sekitar dan buruh global.
"Kenderaan elektrik yang disubsidi oleh kerajaan China membanjiri pasaran, dan kita mesti mengambil tindakan tegas untuk melindungi pekerjaan dan industri di Kanada.
"Dengan mengenakan tarif ini kita memastikan 'padang permainan' yang adil untuk pengeluar kita dan memperkukuh industri EV domestik," katanya dalam sidang media semalam.
Tarif Kanada itu akan berkuat kuasa 1 Oktober dengan larangan insentif EV bagi negara tanpa perjanjian perdagangan bebas seperti China.
Dalam sidang media sama Trudeau turut memperkenalkan cukai tambahan sebanyak 25 peratus ke atas import produk keluli dan aluminium dari China berkuat kuasa pada 15 Oktober.
Kedutaan Beijing sebagai tindak balas menyuarakan "rasa tidak puas hati yang kuat" terhadap tarif baharu tersebut.
"Langkah ini adalah contoh perlindungan perdagangan yang tipikal dan keputusan bermotifkan politik," kata jurucakap dalam satu kenyataan di laman web kedutaan.
"Ia akan merosakkan perdagangan dan kerjasama ekonomi antara China dan Kanada, merugikan kepentingan pengguna dan syarikat Kanada serta memperlahankan proses peralihan hijau Kanada," tambahnya. -AFP