fb fb fb fb fb

Kanada kekal mewajibkan pemakaian pelitup muka

TORONTO, 20 April- Kerajaan Kanada tidak bercadang untuk menghentikan arahan pemakaian pelitup muka dalam pesawat selepas seorang hakim di Florida bertindak membatalkan undang-undang berkenaan yang sebelum ini dikuatkuasakan Amerika Syarikat.

"Kami mengambil pendekatan berlapis untuk memastikan pelancong selamat dan pelitup muka kekal sebagai senjata yang sangat berguna untuk melawan COVID-19," kata jurucakap Menteri Pengangkutan Kanada menerusi satu e-mel.

Tambah kenyataan itu, pemakaian pelitup muka akan diwajibkan bagi semua syarikat penerbangan Kanada dan ke atas penerbangan yang berlepas dari atau tiba di Kanada.

Arahan tersebut turut meliputi para pelancong memakai pelitup muka dan menjejaki kontak rapat selama 14 hari sebaik tiba di Kanada.


(Foto REUTERS)

Terdahulu, pembatalan arahan pemakaian pelitup muka yang diwajibkan sebelum ini dibuat oleh Hakim Daerah Amerika Syarikat, Kathryn Kimball Mizelle bagi prosedur ketika menaiki kapal terbang, kereta api dan lain-lain pengangkutan awam.

Menurut kenyataan lagi, arahan itu melebihi kuasa berkanun Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Minggu lalu, Lembaga Sekolah Ottawa memperkenalkan arahan mewajibkan pemakaian pelitup mukanya sendiri selepas wilayah itu membatalkan keperluan berkenaan.

Dalam surat kepada ibu bapa, institusi itu berkata pelajar tidak akan digantung atau dibuang sekolah kerana tidak mematuhinya tetapi ibu bapa mereka mungkin dipanggil. - REUTERS

Media Baharu