fb fb fb fb fb

Kanada hapuskan balasan tarif ke atas produk AS di bawah CUSMA

Perdana Menteri Mark Carney/ AFP

WASHINGTON, 23 Ogos - Kanada pada Jumaat mengumumkan akan menghapuskan semua tarif balasan ke atas produk Amerika Syarikat (AS) yang diliputi di bawah Perjanjian Kanada-AS-Mexico (CUSMA) bermula bulan depan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kerajaan Kanada kini akan menyamai langkah Amerika Syarikat dengan menghapuskan semua tarif Kanada ke atas barangan AS yang khusus diliputi di bawah CUSMA,” kata Perdana Menteri Mark Carney kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet.

Carney berkata keputusan itu akan berkuat kuasa pada 1 Sept, namun tidak meliputi tarif ke atas keluli, aluminium dan automobil.

Perubahan itu bermaksud pelbagai barangan pengguna keluaran AS tidak lagi akan dikenakan tarif 25 peratus sekiranya mematuhi CUSMA, perjanjian perdagangan bebas kedua terbesar dunia dari segi jumlah dagangan, yang turut dikenali sebagai Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA).

Pada 31 Julai, Presiden Trump menandatangani perintah eksekutif menaikkan kadar tarif ke atas Kanada daripada 25 peratus kepada 35 peratus.

Kadar tarif baharu ke atas Kanada itu berkuat kuasa pada 1 Ogos, menurut Rumah Putih, yang menuduh Kanada gagal bekerjasama dalam usaha membendung aliran fentanyl dan dadah terlarang lain, selain bertindak balas terhadap langkah yang diambil AS.- BERNAMA-ANADOLU

ROSLINA BINTI DIN