OTTAWA, 4 Mac- Kanada pada Ahad mengumumkan sekatan baharu terhadap enam pegawai Rusia berikutan kematian ketua pembangkang Alexei Navalny bulan lalu di koloni penjara Artik.
Sekatan itu menyasarkan "pegawai kanan dan anggota berpangkat tinggi bagi perkhidmatan pendakwaan, kehakiman dan pemulihan Rusia," kata satu kenyataan oleh Jabatan Hal Ehwal Luar Kanada.
Keenam-enam individu terbabit dilaporkan "terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia terhadap Navalny, bertindak kejam dan akhirnya menyebabkan kematiannya," katanya.
"Bersama rakan kongsi kami, Kanada akan mengekalkan tekanan ke atas kerajaan Rusia untuk menjalankan siasatan penuh dan telus berhubung kematian Navalny," kata Menteri Luar Negeri Melanie Joly dalam satu kenyataan.
"Tekanan yang meningkat ke atas kerajaan Rusia ini memberikan isyarat jelas bahawa hak asasi manusia mesti dihormati secara total."
Selepas kematian Alexei Navalny, pengkritik paling lantang Presiden Rusia Vladimir Putin, kerajaan Kanada memanggil duta Rusia untuk 'menuntut siasatan penuh dan telus' terhadap kematian individu tersebut.
Navalny meninggal dunia pada 16 Februari dalam keadaan yang tidak jelas di koloni penjara di Artik, di mana dia menjalani hukuman penjara 19 tahun kerana 'ekstremisme.' Dia berumur 47 tahun.
Keluarga dan sekutunya menuduh Kremlin mengarahkan dia dibunuh dan pemimpin Barat berkata Putin bertanggungjawab atas kematiannya.-AFP