fb fb fb fb fb

Kali ke-4, Pyongyang lancar peluru berpandu ke Laut Jepun

FOTO AFP

SEOUL, 17 Januari- Buat kali keempat bulan ini, Korea Utara dipercayai melancarkan ujian peluru berpandu tanpa mempedulikan amaran sekatan oleh Amerika Syarikat. 

Kenyataan Ketua Staf Bersama Seoul menyebut, Korea Utara telah melancarkan dua peluru berpandu balistik ke Laut Timur merujuk perairan Jepun atau Laut Jepun.   

Perkara itu turut disahkan pengawal pantai Jepun.

“Kelihatan Korea Utara telah melancarkan peluru berpandu balistik”, menurut Jurucakap Pengawal Pantai Jepun kepada agensi berita AFP tanpa memberi perincian lanjut berhubung perkara itu.

Jumaat lalu, Korea Utara mengakui telah melepaskan dua peluru berpandu taktikal yang dilancarkan dari kereta api.

Sebelum itu Pyongyang turut mengesahkan telah melancarkan peluru berpandu hipersonik pada 5 dan 11 Januari tahun ini.

Susulan pelancaran itu, minggu lalu Amerika Syarikat mengenakan sekatan baharu kepada negara bercita-cita nuklear itu yang dianggap Pyongyang sebagai tindakan provokasi.

“Korea Utara ada ‘hak yang sah’ untuk mempertahkan negara, jelas Jurucakap Kementerian Luar kepada berita tempatan KCNA. -AFP

Media Baharu