FOTO AFP
COLLEYVILLE, 17 Januari- Lelaki yang menjadikan empat individu sebagai tebusan dalam serangan berani mati di sebuah rumah ibadat di Texas dikenal pasti pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai warga Britain.
Susulan insiden itu, polis United Kingdom turut menahan dua remaja dipercayai ada kaitan dengan serangan yang disifatkan, Presiden Joe Biden sebagai “tindakan pengganas”.
"Suspek yang disahkan terbunuh dalam insiden tebusan 10 jam di bandar Colleyville pada Sabtu, dikenali sebagai Malik Faisal Akram, 44 tahun," menurut Biro Penyiasatan Persekutan (FBI).
Beberapa jam selepas kejadian, Polis Antikeganasan Britain menahan dua individu untuk disiasat berhubung insiden tersebut.
“Dua remaja ditahan di South Manchester petang tadi dan mereka telah direman,” menurut Polis Greater Manchester menerusi satu kenyataan.
Sebelum itu pejabat FBI di Dallas mengeluarkan kenyataan bahawa tiada petunjuk penglibatan individu lain dalam serangan di rumah ibadat Beth Israel tersebut.
‘Drama’ tebusan 10 jam itu, menyaksikan ke semua empat tebusan yang ditahan dibebaskan setelah desakan seorang lelaki menuntut pembebasan dipercayai, rakannya gagal. -AFP