fb fb fb fb fb

Kadar inflasi Filipina cecah paras tertinggi sejak 2008

(FOTO REUTERS)

MANILA, 4 November- Kadar inflasi tahunan Filipina meningkat kepada 7.7 peratus pada Oktober, tertinggi sejak Disember 2008 dan menokok daripada 6.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Menurut Pihak Berkuasa Statistik Filipina, ia didorong oleh kenaikan harga dalam kumpulan komoditi utama, terutamanya makanan dan minuman bukan alkohol. Kadar itu berkemungkinan akan meningkat lagi.

Tinjauan agensi berita Reuters mendapati, kadar inflasi pada bulan lepas berada atas unjuran median 7.1 peratus, manakala purata kadar inflasi dalam tempoh Januari hingga Oktober ialah 5.4 peratus.

Agensi perangkaan itu melihat "kebarangkalian besar" bahawa inflasi boleh meningkat lagi pada bulan November, sebahagiannya disebabkan oleh kesan ribut tropika yang banyak memusnahkan baru-baru ini.


(Foto hiasan/REUTERS)

Susulan itu, agensi perancang ekonomi itu berkata kerajaan komited untuk memberikan bantuan segera bagi mengurangkan kesan kenaikan inflasi.

Semalam, Gabenor bank pusat, Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP), Felipe Medalla berkata, pihaknya akan menaikkan kadar faedah utamanya sebanyak 75 mata asas dalam mesyuarat dasar pada 17 November, selaras dengan langkah yang diambil oleh Rizab Persekutuan Amerika.

BSP berhasrat untuk mengekalkan perbezaan kadar faedah sebelum kenaikan kadar Fed terkini, bagi mengurangkan sebarang kesan ke atas kadar pertukaran negara, katanya.

Mata wang Peso menunjukkan prestasi paling teruk di Asia Tenggara, telah kehilangan lebih daripada 13 peratus berbanding dolar A.S. setakat tahun ini.

"Kami menjangkakan bank pusat akan meningkat semula pada Disember, berkemungkinan sesuai dengan sebarang langkah daripada Fed untuk menutup tahun ini," kata Ahli Ekonomi Kanan ING, Nicholas Mapa.-REUTERS

Media Baharu