(FOTO fail/AFP)
JUBA, 4 November- Hampir lapan juta orang penduduk di Sudan Selatan atau dua pertiga daripada penduduk di negara itu, berdepan risiko kebuluran.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran masalah itu akan berlanjutan jika bantuan kemanusiaan dihentikan.
Menurut PBB, penderitaan salah satu negara termiskin itu juga bertambah dengan kejadian banjir yang telah menjejaskan lebih satu juta orang penduduknya.
Negara itu menghadapi konflik maut, bencana alam, ekonomi dan politik yang berterusan sejak ia mencapai kemerdekaan dari Sudan pada 2011.
(Hampir lapan juta orang penduduk di Sudan Selatan atau dua pertiga daripada penduduk di negara itu, berdepan risiko kebuluran/AFP)
"Kebuluran dan kekurangan zat makanan semakin meningkat. Banjir, kemarau dan kawasan yang dilanda konflik di Sudan Selatan, dengan sesetengah komuniti mungkin menghadapi kebuluran jika bantuan kemanusiaan tidak dikekalkan dan langkah penyesuaian iklim tidak dipertingkatkan," kata PBB .
Menerusi laporan bersama Pertubuhan Makanan dan Pertanian, UNICEF dan Program Makanan Sedunia, masalah kekurangan zat berada pada tahap kritikal, sekali gus melepasi tahun 2013 dan 2016.
Laporan itu memaklumkan sebanyak 7.76 juta orang berkemungkinan menghadapi masalah kekurangan makanan yang kritikal pada April hingga Julai 2023, manakala 1.4 juta kanak-kanak akan mengalami kekurangan zat makanan.-AFP