fb fb fb fb fb

Kabus tebal: Tujuh maut, kemalangan 'berantai' libatkan 158 kenderaan di Louisiana

Salah sebuah kenderaan terjunam ke dalam tasik selepas terlibat kemalangan membabitkan 158 kenderaan/Reuters

LOUISIANA, 25 Oktober- Sekurang-kurangnya tujuh maut dan 25 lagi cedera selepas terbabit kemalangan jalan raya melibatkan 158 buah kenderaan termasuk sebuah lori tangki yang membawa bahan berbahaya di barat New Orleans di sini, Amerika Syarikat pada Isnin lalu.

Menurut pegawai, kemalangan berantai tersebut mengakibatkan sebilangan kenderaan remuk dan hangus di atas sebuah jambatan di Tasik Maurepas, manakala sekurang-kurangnya sebuah kenderaan terjunam ke dalam tasik berkenaan.

Polis Louisiana berkata, pencarian mangsa diteruskan selama beberapa jam selepas nahas berlaku, serta memaksa penutupan laluan di Interstate 55 berhampiran St. John the Baptist Parish.

Media tempatan melabelkan keadaan kabus itu sebagai "super fog".

Perkhidmatan Cuaca Negara melaporkan bahawa "super fog" adalah campuran asap dan lembapan yang dibebaskan daripada bahan organik membara serta lembap.

Keadaan tersebut boleh menjejaskan jarak penglihatan kepada kurang daripada 3 meter. -Reuters

SITI AISHAH BINTI MD ISA