fb fb fb fb fb

Polis Israel halang jemaah Islam masuk Masjid Al-Aqsa

Masjid Al-Aqsa

BAITULMAQDIS, 25 Oktober- Polis Israel dilapor menutup Masjid Al-Aqsa di sini, sekali gus menghalang jemaah Islam daripada memasuki kawasan suci berkenaan sejak semalam.

Memetik laporan Agensi Berita Palestin (WAFA), Jabatan Wakaf Islam yang bertanggungjawab menjaga masjid berkenaan sebagai berkata, polis Israel telah menutup semua pintu yang menuju ke pekarangan masjid secara tiba-tiba dan mengejut.

Sementara itu, semua umat Islam dihalang daripada memasuki Masjid Al-Aqsa.

Pihak terbabit berkata, polis Israel telah mengetatkan kemasukan ke dalam masjid tersebut sejak pagi semalam dengan hanya membenarkan kemasukan warga tua sahaja.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, jemaah daripada semua peringkat umur dinafikan untuk masuk ke Masjid Al-Aqsa.

Pada masa sama, polis membenarkan fanatik Yahudi memasuki pekarangan suci umat Islam itu pada waktu pagi untuk bersiar-siar serta mengadakan ritual secara bebas, sekali gus melanggar status quo Masjid Al-Aqsa yang menyatakan ia adalah tempat ibadah umat Islam.

SITI AISHAH BINTI MD ISA