fb fb fb fb fb

Israel bengang Ketua PBB keluar kenyataan serangan Hamas 'bersebab'

Antonio Guterres/AFP

NEW YORK, 25 Oktober- Israel tidak berpuas hati dengan kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang menyifatkan serangan pejuang Hamas terhadap pihak itu tidak mungkin berlaku tanpa sebab.

Sebaliknya beliau berkata, 'penyeksaan' sekian lama yang dialami rakyat Palestin sejak 56 tahun disebabkan pendudukan haram adalah menjadi punca utama serangan Hamas.

Kenyataannya itu sekali gus menimbulkan kemarahan Menteri Luar Israel, Eli Cohen, yang mendakwa orang awam termasuk kanak-kanak kecil terbunuh dalam serangan tunggal paling berdarah dalam sejarah Israel.

Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan pula menggesa Guterres meletak jawatan dengan mendakwa ketua PBB itu menyatakan sokongan terhadap keganasan dan pembunuhan.

Dalam sidang semalam di Beijing, Guterres juga menyatakan bahawa berlaku pelanggaran undang-undang antarabangsa di Gaza dan menggesa gencatan senjata segera diisytiharkan, ketika Israel sedang giat menggempur wilayah Palestin.

Pelanggaran itu turut didakwa memecah belahkan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan membelakangkan undang-undang antarabangsa yang wajib dipatuhi semua pihak.

Beliau menegaskan, tiada alasan untuk keganasan mengerikan oleh serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu, tetapi ia bukan alasan bagi menghukum penduduk Palestin secara keseluruhan.

"Saya amat prihatin dengan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang jelas kita saksikan di Gaza. Saya berasa ngeri dengan ratusan orang yang terbunuh di Hospital Al-Ahli tempoh hari.

"Biar saya jelaskan, tiada pihak dalam konflik bersenjata melebihi undang-undang kemanusiaan antarabangsa," katanya tanpa menamakan Israel secara khusus.

Guterres berada di Beijing, China bagi menghadiri inisiatif infrastruktur global Presiden Xi Jinping dengan kehadiran lebih 20 pemimpin dunia. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA