fb fb fb fb fb

Lebih 2,000 kanak-kanak Palestin dilaporkan terbunuh

FOTO REUTERS

GAZA, 25 Oktober - Agensi Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengecam jumlah kanak-kanak yang terkorban di Gaza.

Setakat ini, pengeboman rejim zionis Israel telah membunuh lebih 2,000 kanak-kanak bawah umur.

Sekurang-kurangnya 2,360 kanak-kanak terbunuh kurang daripada tiga minggu sejak serangan Israel ke atas Gaza.

UNICEF menggesa gencatan senjata segera dilakukan selain akses berterusan tanpa halangan bantuan kemanusiaan.

Seramai 5,364 lagi kanak-kanak di Gaza cedera dalam "serangan yang tidak henti-henti," tambah UNICEF pada Selasa.

Lebih 400 kanak-kanak dilaporkan sama ada terbunuh atau cedera setiap hari di kawasan Palestin yang terkepung, katanya.

Pada 7 Oktober, Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel, yang mengorbankan lebih 1,400 orang.

Sejak itu tentera Israel tidak henti-henti mengebom Gaza dan membunuh sekurang-kurangnya 5,791 orang.

“Keadaan di Semenanjung Gaza menyayat hati. Kadar kematian dan kecederaan kanak-kanak sangat mengejutkan,” kata Pengarah Wilayah UNICEF Timur Tengah dan Afrika Utara, Adele Khodr.

"Lebih menakutkan jumlah kematian harian terus meningkat selain kekurangan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, air, bekalan perubatan dan bahan api,"

Hampir semua kanak-kanak di Semenanjung Gaza terdedah kepada trauma yang amat menyedihkan, kata UNICEF.

"Tebing Barat menyaksikan lonjakan yang membimbangkan dalam kematian", kata agensi itu.

28 kanak-kanak telah terbunuh dan sekurang-kurangnya 160 dilaporkan mengalami kecederaan.

"UNICEF segera merayu kepada semua pihak untuk bersetuju dengan gencatan senjata, membenarkan akses kemanusiaan dan membebaskan semua tebusan. Malah peperangan mempunyai peraturan. Orang awam mesti dilindungi, terutamanya kanak-kanak, dan semua usaha mesti dilakukan untuk menyelamatkan mereka dalam semua keadaan."

Ketua PBB Antonio Guterres juga memperbaharui gesaan gencatan senjata pada Selasa dan berkata undang-undang antarabangsa dicabuli dalam perang antara Israel dan Hamas.- Al-Jazeera

TETITIA YUSOFF