fb fb fb fb fb

Jutawan teknologi China hilang

(FOTO AFP)

BEIJING, 17 Februari - Jutawan yang juga pengerusi bank pelaburan China, China Renaissance, Bao Fan dilaporkan hilang.

Syarikat perbankan itu berkata kehilangan Bao ketika saham dalam syarikat menjunam di Hong Kong, hari ini.

Bao yang juga pengarah eksekutif bank berkenaan ialah tokoh besar dalam industri teknologi China dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pelbagai syarikat pemula internet domestik.

"Syarikat tidak dapat menghubungi Encik Bao," kata China Renaissance dalam satu pengumuman kepada Bursa Saham Hong Kong semalam, tanpa memberikan butiran lanjut.

Saham dalam syarikat itu merosot sebanyak 50 peratus pada satu masa susulan kenyataan itu, sebelum meningkat pada sekitar penurunan 30 peratus.

(FOTO AFP)

Saluran berita kewangan Caixin melaporkan, jutawan berusia 52 tahun itu tidak dapat dihubungi selama dua hari pada petang Khamis.

China Renaissance tidak dapat memberikan komen segera selepas dihubungi AFP.

Kehilangan Bao kini menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan pembaharuan dalam tindakan keras ke atas industri kewangan China ketika Presiden Xi Jinping tegas dalam komitmennya memerangi rasuah.

Penganalisis kanan di Forsyth Barr Asia, Willer Chen memberitahu Bloomberg, kehilangan berterusan eksekutif itu boleh menjadi ketergantungan jangka panjang terhadap saham, memandangkan Bao adalah orang penting bagi syarikat itu.

Jurucakap kementerian luar China, Wang Wenbin berkata beliau tidak mengetahui maklumat berkaitan apabila ditanya mengenai kehilangan Bao.

"Bagaimanapun, saya boleh memberitahu anda yang China adalah sebuah negara di bawah kedaulatan undang-undang.

"Kerajaan China melindungi hak rakyatnya yang sah mengikut undang-undang," katanya.

China Renaissance yang diasaskan pada 2005 berkembang menjadi sebuah institusi kewangan global dengan lebih 700 pekerja dan mempunyai pejabat di Beijing, Shanghai, Hong Kong, Singapura dan New York.-AFP

Media Baharu