fb fb fb fb fb

Jurucakap Hamas Qanoua terbunuh dalam serangan udara Israel

Foto Middle East Monitor

KAHERAH, 27 Mac – Jurucakap Hamas, Abdel-Latif Al-Qanoua dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel di utara Gaza, awal pagi Khamis.

Al-Qanoua terbunuh apabila khemah tempat beliau berada menjadi sasaran serangan di Jabalia.

Serangan yang sama turut mencederakan beberapa individu lain, menurut sumber perubatan.

Awal minggu ini, Israel turut membunuh Ismail Barhoum, ahli pejabat politik Hamas, serta Salah al-Bardaweel, seorang lagi pemimpin kanan kumpulan itu.

Barhoum dan Bardaweel merupakan sebahagian daripada pejabat politik Hamas yang terdiri daripada 20 anggota, di mana 11 daripada mereka telah terbunuh sejak perang bermula pada akhir 2023, menurut sumber Hamas.

Minggu lalu, Israel menamatkan gencatan senjata selama dua bulan dengan menyambung semula pengeboman dan operasi darat, meningkatkan tekanan ke atas Hamas untuk membebaskan baki tebusan yang masih berada dalam tahanannya.

Sekurang-kurangnya 830 orang, lebih separuh daripadanya kanak-kanak dan wanita, telah terbunuh sejak Israel melancarkan semula serangan ketenteraan besar-besaran di Gaza pada 18 Mac, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Israel dan Hamas saling menuduh antara satu sama lain melanggar gencatan senjata, yang secara amnya telah bertahan sejak Januari dan memberikan kelegaan sementara kepada 2.3 juta penduduk Gaza, yang kini mengalami kemusnahan besar-besaran.

Hamas, yang masih menahan 59 daripada kira-kira 250 tebusan yang didakwa Israel diculik dalam serangan pada 7 Oktober 2023, menuduh Israel menggagalkan usaha perantara untuk merundingkan perjanjian kekal bagi menamatkan pertempuran.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata beliau mengarahkan serangan kerana Hamas telah menolak cadangan untuk memanjangkan gencatan senjata.

Beliau mengulangi ancaman pada Rabu untuk merampas wilayah di Gaza sekiranya Hamas gagal membebaskan baki tebusan yang masih ditahan. –REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN