fb fb fb fb fb

14 juta kanak-kanak berisiko alami kebuluran dan kekurangan nutrisi

Peniaga jalanan berjalan melewati pejabat Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) di Abidjan, Ivory Coast /Foto REUTERS

NEW YORK, 27 Mac – Sekurang-kurangnya 14 juta kanak-kanak di seluruh dunia berdepan kebuluran dan kekurangan nutrisi sekali gus menyumbang kepada kematian.

Amaran tersebut dikeluarkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu.

UNICEF menegaskan bahawa situasi tersebut bertambah kritikal susulan pemotongan dana oleh penderma utama antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat yang mengurangkan peruntukan bantuan luar.

Bagi menangani ancaman kebuluran ini, UNICEF menggesa kerajaan dan institusi dermawan untuk menyumbang kepada Dana Pemakanan Kanak-Kanak bagi mengelakkan gelombang kebuluran yang semakin membimbangkan.

Ketua Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell, berkata bahawa dunia telah mencapai kemajuan besar dalam membanteras kebuluran kanak-kanak sejak awal abad ke-21.

Namun, pencapaian itu kini berisiko terhapus akibat pemotongan dana yang drastik oleh beberapa negara penderma utama.

"Pemakanan yang baik adalah asas kepada kelangsungan hidup dan pembangunan kanak-kanak, dengan pulangan pelaburan yang mengagumkan," katanya dalam satu kenyataan UNICEF.

"Keuntungan daripada pelaburan ini akan dilihat dalam bentuk keluarga yang lebih kuat, masyarakat yang lebih stabil, dan dunia yang lebih aman," tambahnya.

Sejak Presiden Donald Trump kembali berkuasa dua bulan lalu, penasihatnya, Elon Musk, melalui Jabatan Kecekapan Kerajaan (DDOGE) telah mengurangkan peruntukan besar dalam USAID, agensi bantuan antarabangsa AS.

Beberapa negara penderma lain seperti Britain turut mengambil langkah yang sama dengan mengurangkan atau membekukan bantuan antarabangsa demi mengawal defisit dan meningkatkan perbelanjaan pertahanan.

Russell memberi amaran bahawa akibat pemotongan dana ini, bakal mengakibatkan sebanyak 2.4 juta kanak-kanak yang mengalami kekurangan nutrisi tidak akan menerima makanan terapeutik daripada UNICEF sepanjang tahun ini.

Selain itu, 2,300 pusat rawatan kecemasan bagi kanak-kanak yang mengalami kebuluran terancam untuk ditutup, sementara 28,000 pusat pemakanan yang disokong UNICEF turut berisiko kehabisan dana.

Secara keseluruhannya, 14 juta kanak-kanak dijangka menghadapi gangguan dalam mendapatkan sokongan pemakanan dan perkhidmatan kesihatan tahun ini.

Russell turut menekankan bahawa krisis pembiayaan ini berlaku pada waktu yang paling genting, ketika kanak-kanak di seluruh dunia menghadapi rekod tertinggi pemindahan akibat perang, konflik berpanjangan, wabak penyakit, dan kesan maut perubahan iklim.

"Tanpa tindakan segera daripada penderma dan kerajaan, dunia bakal menyaksikan lonjakan kes kebuluran dan kematian dalam kalangan kanak-kanak yang tidak berdosa," katanya.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD