fb fb fb fb fb

Krisis Rohingya: Pemotongan dana AS jejaskan kesihatan dan makanan

Foto Reuters

COX’S BAZAR, 27 Mac – Pelarian Rohingya di Bangladesh kini berdepan krisis lebih buruk susulan pemotongan bantuan antarabangsa, terutamanya dari Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah.

Keputusan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk menghentikan sebahagian besar bantuan luar telah memberi kesan besar kepada lebih sejuta pelarian Rohingya yang berlindung di kem-kem di Cox’s Bazar.

Kebanyakan hospital dan pusat pemulihan terpaksa mengurangkan perkhidmatan, menjejaskan rawatan kesihatan dan kebajikan golongan rentan, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), bekalan makanan juga bakal dikurangkan kepada AS$6 sebulan bermula April berikutan kekurangan dana.

Sebelum ini, pemotongan bekalan makanan pada 2023 menyebabkan peningkatan kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam kalangan pelarian.

Keadaan semakin membimbangkan apabila kadar jenayah di kem Rohingya meningkat akibat kesukaran hidup.

Pihak berkuasa bimbang pelarian akan lebih terdedah kepada pemerdagangan manusia, eksploitasi dan radikalisasi.

Pemimpin komuniti Rohingya, Mohammad Jubair, memberi amaran bahawa krisis itu bukan hanya masalah Bangladesh, namun boleh menjadi isu global jika tidak ditangani segera.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN