fb fb fb fb fb

Netanyahu ugut rampas Gaza jika Hamas enggan bebaskan tebusan

Seorang lelaki Palestin melambaikan bendera putih semasa protes anti-Hamas, menyeru agar peperangan dengan Israel dihentikan, di Beit Lahia di utara Gaza

GAZA, 27 Mac-Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Rabu mengancam untuk merampas beberapa kawasan di Gaza sekiranya Hamas enggan membebaskan tebusan yang masih ditahan.

Sejak Israel menyambung semula serangan udara dan daratnya pada 18 Mac, sebanyak 830 penduduk Gaza telah terbunuh, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikuasai Hamas.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa serangan baharu Israel telah menyebabkan 142,000 penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dalam tempoh hanya tujuh hari, sementara sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan menyebabkan bekalan makanan dan perubatan semakin berkurangan.

Pada Rabu, Menteri Pertahanan Israel Israel Katz mengumumkan bahawa tentera Israel akan segera beroperasi dengan kekuatan penuh di kawasan lain di Gaza dan lebih banyak arahan pemindahan akan dikeluarkan.

Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, turut mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk di beberapa kawasan di Gaza City.

"Organisasi pengganas kembali dan melancarkan roket dari kawasan yang padat penduduk. Demi keselamatan anda, bergeraklah ke selatan Gaza ke arah tempat perlindungan yang telah ditetapkan," katanya dalam satu hantaran di media sosial X.

Pegawai Israel menyatakan bahawa operasi ketenteraan terbaharu itu bertujuan untuk memberi tekanan kepada Hamas agar melepaskan tebusan yang masih ditahan, selepas rundingan gagal mencapai kata sepakat mengenai lanjutan gencatan senjata.

Semasa tempoh gencatan senjata, sebanyak 33 tebusan Israel telah dibebaskan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin.

Namun, Israel mahu melanjutkan fasa pertama gencatan senjata, manakala Hamas menuntut rundingan untuk peringkat kedua yang dijangka membawa kepada gencatan senjata kekal.

Netanyahu menegaskan di Parlimen Israel bahawa semakin lama Hamas menolak untuk melepaskan tebusan, semakin kuat tekanan yang akan dikenakan oleh Israel.

"Ini termasuk rampasan wilayah, selain langkah-langkah lain yang saya tidak akan jelaskan di sini," katanya.

Sementara itu, kumpulan Hamas memberi amaran bahawa tebusan akan pulang "dalam keranda" sekiranya Israel tidak menghentikan serangan udara di wilayah tersebut.

"Setiap kali pihak penjajah (Israel) cuba mendapatkan tebusan mereka dengan kekerasan, mereka akhirnya hanya membawa mereka pulang dalam keranda."

Hamas mendakwa bahawa mereka "berusaha sedaya upaya untuk memastikan tebusan masih hidup", namun mendakwa bahawa serangan Israel telah membahayakan nyawa mereka.

Dalam pada itu, protes anti-Hamas oleh penduduk Gaza berterusan buat hari kedua.

Salah seorang penunjuk perasaan, Muayed Zahir, berkata mereka tidak mahu Hamas terus berkuasa.

"Kami tidak mahu Hamas! Kami sudah letih," katanya dalam satu perhimpunan di Gaza City.

Satu lagi protes turut diadakan di Beit Lahia, kawasan utara Gaza.

Hamas telah menguasai Gaza sejak tahun 2007 selepas memenangi pilihan raya Palestin pada tahun sebelumnya.

Sejak itu, tiada pilihan raya telah diadakan di wilayah tersebut.

Gerakan Fatah yang diketuai oleh Presiden Palestin Mahmud Abbas telah menyeru Hamas agar "berundur daripada mentadbir Gaza" demi melindungi kewujudan rakyat Palestin yang semakin terancam akibat perang yang berpanjangan.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD