GAZA, 16 November- Jumlah korban rakyat Palestin terus mencatatkan peningkatan kepada 11,500 mangsa.
Setakat ini, serangan oleh rejim Israel telah meragut nyawa 4,650 kanak-kanak dan 3,145 wanita serta mengakibatkan 29,200 penduduk cedera.
Serangan bertali arus tentera zionis turut menyebabkan 3,600 individu gagal dikesan termasuk 1,755 kanak-kanak selain 22 anggota pertahanan awam dan 51 wartawan terbunuh sejak 7 Oktober lalu.
95 buah bangunan kerajaan, 255 sekolah dan 74 masjid dilapor musnah manakala 162 buah lagi mengalami kerosakan termasuk tiga gereja.
Selain itu, rejim Israel turut menyasarkan 52 buah pusat kesihatan dan 55 ambulans, dengan 25 buah hospital tidak lagi berfungsi.
Menurut laporan berita Portal WAFA, tentera Israel pada Rabu telah menyerbu Kompleks Perubatan Al-Shifa setelah pusat perubatan itu dikepung selama beberapa hari.
Pejabat kerajaan menggesa pembukaan lintasan Rafah dan kemasukan bantuan dengan kadar segera berikutan jenayah perang terancang yang berterusan oleh Israel dan sekutunya.