fb fb fb fb fb

Juara snuker dunia enam kali, O'Sullivan ke separuh akhir

(Ronnie O'Sullivan/REUTERS)

LONDON, 28 April - Juara enam kali, Ronnie O'Sullivan mara ke separuh akhir Kejohanan Snuker Dunia untuk rekod kali ke-13 dengan menewaskan Stephen Maguire 13-5 di Sheffield.

Pemain berusia 46 tahun itu mencatat 'break' 71 dan 126 dalam dua 'frame' pertama sesi pagi untuk mengatasi rekod yang dikongsinya bersama Stephen Hendry.

Walaupun menghampiri rekod tujuh gelaran dunia era moden milik Hendry, O'Sullivan bertegas bahawa penguasaan sukan snuker oleh bintang Scotland itu pada 1990-an masih menjadikannya pemain terhebat.

“Stephen ialah legenda sepanjang zaman bagi saya, pemain terhebat,” kata pemain nombor satu dunia itu kepada BBC.

"Dia ialah Tiger Woods snuker. Saya, John (Higgins) dan Mark (Williams) semuanya bermain dengan baik, tetapi ketika dia terbang dia adalah seorang bintang handalan.

"Apabila ada kami bertiga, kami bukan bintang handalan. Tetapi apabila ada seorang lelaki yang mendominasi sukan seperti yang dia lakukan, seperti Tiger Woods, ia adalah tahap yang berbeza," tambahnya.

O'Sullivan akan menentang John Higgins pada pusingan separuh akhir selepas juara empat kali itu menyingkirkan Jack Lisowski.

(John Higgins/AFP)

Higgins menunjukkan semua pengalamannya untuk memenangi dua 'frame' terakhir, dan menang 13-12 selepas ketinggalan 11-12.

Satu lagi permainan separuh akhir menyaksikan pertemuan antara Mark Williams dengan juara 2019, Judd Trump. -AFP

Media Baharu