WASHINGTON, 23 April- Jualan rumah baharu di Amerika Syarikat mencatat peningkatan di luar jangkaan pada bulan Mac, walaupun suasana pasaran sebelum ini dibayangi ketidaktentuan akibat pelan tarif baharu oleh Presiden Donald Trump.
Presiden AS sebelum ini mengenakan tarif tinggi ke atas puluhan rakan dagang, namun kemudiannya menarik balik sebahagiannya buat sementara waktu, menyebabkan pasaran kewangan bergolak dan kadar turun naik meningkat.
Menurut kenyataan Jabatan Perdagangan AS, kadar jualan rumah baharu disesuaikan mengikut musim mencecah 724,000 unit setahun pada bulan lalu, peningkatan sebanyak 7.4 peratus berbanding angka yang disemak semula bagi Februari.
Jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding jangkaan pasaran sebanyak 684,000 unit, menurut data Briefing.com.
Harga jualan median pula ialah AS$403,600, menurun 1.9 peratus berbanding Februari.
Pasaran rumah baharu dilihat mendapat manfaat apabila pemilik rumah sedia ada enggan menjual disebabkan kadar faedah yang masih tinggi, menyebabkan pembeli baru beralih kepada projek baharu.
Namun begitu, penganalisis memberi amaran bahawa tarif ke atas bahan binaan import seperti keluli boleh meningkatkan kos pembinaan rumah baharu sehingga ribuan dolar, yang akhirnya memaksa pemaju menaikkan harga jualan, satu langkah yang boleh menjejaskan permintaan dalam jangka masa panjang.-AFP