LONDON, 23 April- Satu set lengkap empat folio karya William Shakespeare yang dianggarkan bernilai lebih £3.5 juta bakal dilelong di London bulan hadapan, menurut rumah lelongan Sotheby’s, hari ini.
Folio pertama yang diterbitkan pada tahun 1623 merupakan koleksi pertama drama-drama Shakespeare dan dianggap antara buku paling penting dalam sejarah kesusasteraan Inggeris.
Tanpa penerbitan itu, hampir separuh daripada karya beliau mungkin hilang selama-lamanya termasuk Macbeth, Twelfth Night, dan Julius Caesar.
Daripada 750 naskhah cetakan pertama yang dipercayai diterbitkan, hanya sekitar 235 salinan diketahui masih wujud hari ini.
Folio kedua dicetak pada tahun 1632 dengan pelbagai pindaan daripada edisi pertama, manakala yang ketiga diterbitkan pada 1664 dan menampilkan tujuh karya tambahan. Ia turut dianggap paling jarang ditemui kerana banyak salinannya dipercayai musnah dalam Kebakaran Besar London pada tahun 1666.
Folio keempat yang melengkapkan koleksi diterbitkan pada tahun 1685.
Ramai pencinta buku dan kolektor sejak turun-temurun mengimpikan untuk memiliki keempat-empat folio, namun kini menjadi semakin sukar kerana kebanyakan naskhah disimpan oleh institusi akademik atau awam.
Kali terakhir keempat-empat folio ditawarkan sebagai satu set penuh adalah di New York pada tahun 1989.
Set yang bakal dilelong oleh Sotheby’s pada 23 Mei ini telah dikumpulkan pada tahun 2016 dan dianggarkan bernilai antara £3.5 juta hingga £4.5 juta.
“Folio-folio ini merupakan penerbitan yang besar, mahal dan berprestij melambangkan dakwaan bahawa Shakespeare, seorang penulis profesional teater komersial (bukan sekadar penyair elit), telah mewariskan satu legasi sastera yang patut disemadikan sepanjang zaman,” menurut kenyataan Sotheby’s.
“Majoriti besar kesemua Folio kini berada dalam simpanan institusi, maka peluang untuk memiliki satu set lengkap adalah amat jarang berlaku,” tambah kenyataan itu lagi.
Folio pertama diterbitkan kira-kira tujuh tahun selepas kematian Shakespeare dan mengandungi 36 buah drama, dengan 18 daripadanya dicetak buat kali pertama.
Diaris terkenal, Samuel Pepys pernah membeli satu salinan Folio pada tahun 1664, dan Raja Charles I juga dilaporkan pernah membaca serta membuat catatan pada salinan Folio Kedua semasa beliau dipenjarakan pada 1640-an.-AFP