fb fb fb fb fb

3 warga asing didakwa seludup semut dari Kenya, hukuman Mei ini

FOTO REUTERS

NAIROBI, 23 April- Empat individu, termasuk tiga warga asing, dihadapkan ke mahkamah di Kenya hari ini atas tuduhan cuba menyeludup ribuan ekor semut hidup dari negara Afrika Timur itu.

Di Kenya, memiliki spesimen atau trofi hidupan liar tanpa permit adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan denda minimum sekitar AS$10,000 serta penjara sekurang-kurangnya lima tahun.

Dua remaja warga Belgium, Lornoy David dan Seppe Lodewijckx, kedua-duanya berusia 18 tahun, ditahan di daerah Nakuru, kira-kira 160 kilometer dari Nairobi, dengan 5,000 ekor semut ratu yang dibungkus dalam 2,244 tiub.

Sementara itu, warga Vietnam, Duh Hung Nguyen dan seorang rakyat Kenya, Dennis Nganga, ditahan dalam kes berasingan, namun kesemua suspek kini dibicarakan bersama.

Menurut kertas pertuduhan yang diperoleh AFP, Nguyen dan Nganga dikesan memiliki semut yang disimpan dalam 140 picagari berisi kapas serta dua bekas khas.

Spesies semut yang terlibat termasuk Messor cephalotes, iaitu spesies asli yang memainkan peranan penting dalam ekosistem tempatan. Pihak penyiasat turut memaklumkan bahawa sistem penyimpanan digunakan bagi memastikan semut boleh bertahan sehingga dua bulan semasa penghantaran.

Pihak polis menganggarkan nilai pasaran gelap semut tersebut mencecah AS$7,700.

David dan Lodewijckx telah mengaku bersalah atas tuduhan memiliki semut tersebut minggu lalu, namun tidak terhadap tuduhan penyeludupan. Peguam mereka, Halima Magairo, berkata, "Mereka hanya remaja yang ingin meneroka. Sukar untuk menyalahkan mereka sepenuhnya."

Warga Vietnam dan Kenya itu juga turut mengaku bersalah atas kesalahan memiliki semut, dan kesemua tertuduh dijangka dijatuhi hukuman pada 7 Mei depan.

Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) yang mengemukakan kes tersebut berkata, perbuatan itu bukan sahaja merupakan jenayah hidupan liar, malah termasuk dalam kategori lanun biologi.

Menurut kenyataan KWS, suspek dipercayai berniat menyeludup semut itu ke pasaran haiwan eksotik bernilai tinggi di Eropah dan Asia, di mana permintaan terhadap spesies serangga jarang kini semakin meningkat.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE