fb fb fb fb fb

Gempa bumi 6.2 magnitud gegar Laut Marmara dekat pantai Istanbul

FOTO USGS

ISTANBUL, 23 April- Sebuah gempa bumi berukuran 6.2 magnitud melanda Laut Marmara berhampiran pinggir barat Istanbul hari ini.

Menurut pihak berkuasa, gegarannya dirasai di seluruh bandar terbesar di Turki, menyebabkan orang ramai bergegas keluar ke jalan-jalan.

“Mengikut kenyataan Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya di X, gempa bumi berukuran 6.2 magnitud berlaku di Silivri, Laut Marmara, Istanbul,” tambahnya, sambil menyatakan gegaran juga dirasai di beberapa wilayah sekitarnya.

Gegaran awal berlaku pada pukul 12:49 tengah hari (0949 GMT), diikuti dengan tiga gegaran lagi yang berukuran antara 4.4 hingga 4.9 magnitud, lapor agensi pengurusan bencana AFAD Turki di X.

Dalam keadaan bangunan bergoncang, orang ramai berlari ke luar bangunan dan kelihatan resah, memerhatikan telefon bimbit mereka untuk mendapatkan maklumat atau membuat panggilan telefon, menurut wartawan AFP.

“Saya baru sahaja merasai gempa, saya perlu keluar,” kata seorang pekerja hiasan yang kelihatan terkejut ketika bergegas keluar dari sebuah apartmen tingkat empat di kawasan berhampiran Menara Galata di Istanbul.

Setakat ini tiada laporan mengenai sebarang kematian atau kecederaan, mahupun bangunan yang runtuh di kota yang mempunyai 16 juta penduduk itu.

“Hingga kini, kami belum menerima sebarang maklumat mengenai bangunan yang runtuh,” kata pejabat gabenor, sambil menggesa orang ramai untuk menghindari struktur yang mungkin terjejas akibat gegaran tersebut.

“Setakat ini, tiada kes serius dilaporkan selepas gempa bumi di Istanbul,” kata pihak berkuasa bandar Istanbul dalam kenyataan di X.

Gegaran juga dirasai sejauh Bulgaria, menurut wartawan AFP di ibu negara Sofia.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE