fb fb fb fb fb

Jotham Napat dilantik PM baharu Vanuatu

Jotham Napat/Reuters

PORT VILA, 11 Februari- Parlimen Vanuatu pada Selasa memilih bekas Menteri Luar Jotham Napat sebagai Perdana Menteri baharu negara itu, hanya dua bulan selepas gempa bumi kuat melanda kepulauan Pasifik tersebut.

Napat, 52, memperoleh sokongan besar dengan 50 daripada 52 undian ahli parlimen, manakala dua undian lain terbatal, menurut siaran langsung sesi parlimen.

Pemimpin Parti Leaders Party of Vanuatu itu mengambil alih jawatan selepas partinya memenangi sembilan kerusi dalam pilihan raya Januari lalu, menjadikannya parti dengan kerusi terbanyak.

Sebagai Menteri Luar dari 2022 hingga 2023, beliau menegaskan komitmen Vanuatu terhadap hubungan diplomatik yang kukuh dengan China tetapi menyatakan tiada perbincangan berkaitan keselamatan antara kedua-dua negara.

Vanuatu juga mengekalkan hubungan erat dengan Australia yang merupakan penyumbang bantuan terbesar serta rakan keselamatan utama negara itu.

Sebelum menyertai politik pada 2016, Napat berkhidmat sebagai pakar ramalan cuaca dan memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi Air Vanuatu dan Ketua Jawatankuasa Bencana Kebangsaan.

Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri serta memegang beberapa portfolio penting dalam kerajaan.

Pilihan raya umum Januari lalu ditangguhkan selama dua hari susulan gempa bumi bermagnitud 7.3 yang melanda Vanuatu pada Disember, mengorbankan 14 nyawa serta merosakkan infrastruktur di ibu negara, Port Vila.

Parlimen Vanuatu sebelum ini dibubarkan pada November 2023 bagi menghalang usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri ketika itu, Charlot Salwai.

Usul tersebut dikatakan berpunca beberapa isu termasuk masalah syarikat penerbangan nasional Air Vanuatu, mogok guru serta persoalan mengenai ketelusan kewangan kerajaan.

Ketidakstabilan politik bukan sesuatu yang asing bagi Vanuatu yang telah menyaksikan 20 pertukaran perdana menteri antara 1991 hingga 2017.

Pada penghujung 2023, situasi bertambah tegang apabila negara itu mengalami pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh hanya sebulan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA