BEIJING, 11 Februari- Sebuah zoo di China mencetuskan kontroversi selepas didapati mengecat belang hitam dan putih pada keldai bagi menyerupai kuda belang.
Taman hiburan di Zibo City, wilayah Shandong dilaporkan menggunakan kaedah itu untuk menarik lebih ramai pelawat, namun tindakan tersebut dikecam hebat oleh aktivis hak asasi haiwan yang mendakwa ia boleh menyebabkan tekanan dan masalah kesihatan kepada haiwan terbabit.
Bagaimanapun, pihak zoo mempertahankan tindakan mereka dengan menyatakan pewarna digunakan adalah tidak beracun dan tidak mendatangkan bahaya kepada keldai.
Mereka juga mendakwa keldai lebih selamat digunakan kerana kuda belang dianggap sebagai haiwan zoo paling berbahaya di dunia, bertanggungjawab terhadap lebih banyak kecederaan kepada manusia berbanding haiwan lain.
Kejadian itu berlaku hanya seminggu selepas sebuah zoo lain di China dikritik kerana mengecat anjing baka Chow Chow supaya kelihatan seperti harimau.
Pihak Zoo Qinhu Bay Forest Animal Kingdom di wilayah Jiangsu kemudian mengakui kepada media tempatan bahawa ia adalah sebahagian gimik pemasaran. -Reuters