FOTO AFP
WASHINGTON, 11 Februari - Rakyat Amerika Syarikat di Ukraine, digesa segera meninggalkan negara berkenaan.
Presiden Joe Biden ketika membuat gesaan itu memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya konflik lebih buruk dengan Rusia, sekiranya tentera kedua-dua negara terlibat dalam konflik di Ukraine.
Ini termasuk kemungkinan berlakunya perang dunia.
"Rakyat Amerika Syarikat perlu segera meninggalkan Ukraine. Kami sedang berhadapan dengan salah satu tentera terbesar di dunia," katanya dalam satu temubual bersama NBC News.
Dalam pada itu, Biden mengulangi pendirian bahawa pentadbirannya tidak sesekali akan menghantar tentera ke Ukraine. Namun, akan berusaha menyelamatkan rakyat Amerika sekiranya berlaku pencerobohan Rusia di negara tersebut.
Ketegangan Washington-Moscow terus memuncak sejak Perang Dingin, dengan Amerika menganggarkan kira-kira 130,000 tentera Rusia ditempatkan bersama-sama berpuluh-puluh briged tempur di sempadannya dengan Ukraine.-AFP