NEW YORK, 24 September- Wanita Pertama AS, Jill Biden pada Isnin mengumumkan Pentagon akan membelanjakan AS$500 juta setiap tahun untuk memajukan penyelidikan kesihatan wanita, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas oleh White House.
"Jabatan Pertahanan telah komited dengan dana sebanyak setengah bilion dolar untuk kesihatan wanita, terutamanya untuk wanita dalam perkhidmatan, yang kemudiannya memberi impak kepada semua wanita," kata Biden semasa forum tahunan Clinton Global Initiative.
"Jumlah ini akan digunakan untuk mengkaji arthritis, keletihan kronik, dan kesihatan kardiovaskular, ini satu perkara besar dan memang sudah tiba masanya," tambahnya yang kini berusia 73 tahun, bercakap bersama Chelsea Clinton, anak kepada bekas presiden Bill Clinton.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Pertahanan berkata pelaburan tersebut penting untuk memenuhi keperluan kritikal wanita bawah penjagaannya termasuk 230,000 wanita yang bertugas aktif, dua juta pesara tentera wanita, dan ahli keluarga mereka.
"Berbanding lelaki, populasi ini mengalami lebih dua kali ganda kadar keadaan berkaitan kategori hematologi, genitourinari, endokrin, nutrisi, dan gangguan imuniti," katanya.
Langkah itu diambil selepas Presiden Joe Biden pada bulan Mac menandatangani perintah yang bertujuan untuk mengurangkan jurang jantina dalam ujian klinikal dan rawatan serta memperuntukkan AS$200 juta pada tahun fiskal 2025 untuk Dana Kesihatan Wanita yang baru.
Penyelidikan perubatan telah lama mengabaikan keperluan khusus wanita, dan hanya pada tahun 1993 Kongres meluluskan undang-undang yang mewajibkan penyertaan wanita dalam ujian klinikal yang ditaja oleh kerajaan.- AFP