fb fb fb fb fb

Perbicaraan kes rogol sensasi di Perancis bersambung, mahkamah panggil enam lagi suspek

Gisele Pelicot, diiringi oleh peguamnya Stephane Babonneau, mendapat tepukan daripada orang ramai ketika dia meninggalkan mahkamah di Avignon / FOTO AFP

AVIGNON, 24 September- Sebuah mahkamah di Perancis memulakan proses pendengaran kes melibatkan enam tertuduh baharu dalam perbicaraan rogol beramai-ramai yang kini memasuki minggu keempat.

Dominique Pelicot, yang telah mengaku terhadap tuduhan tersebut, dituduh mengajak puluhan orang untuk merogol isterinya yang telah dibius.

Kesalahan itu dilakukannya selama hampir sedekad.

Lelaki berusia 71 tahun itu telah menjalani perbicaraan sejak awal bulan ini bersama 50 lelaki lain berumur antara 26 hingga 74 tahun, ramai menafikan tuduhan tersebut termasuk seorang yang didakwa merogol isterinya sendiri.

Pada Isnin, Pelicot hadir di mahkamah di bandar Avignon, tenggara Perancis, tetapi beliau tidak dijadualkan memberi kenyataan sehingga hujung minggu ini.

Bekas isterinya, Gisele Pelicot, 71, tiba di mahkamah diiringi tepukan daripada orang ramai, yang hadir dalam jumlah besar untuk menyaksikan perbicaraan.

Gisele mendengar tanpa menunjukkan emosi ketika perincian penilaian personaliti enam penyerangnya dibacakan.

Antara mereka ialah Joan K., yang termuda daripada 50 tertuduh bersama yang berumur 22 tahun ketika serangan tersebut didakwa berlaku.

Dia disyaki telah mengunjungi rumah pasangan tersebut di Mazan untuk merogol Gisele Pelicot sebanyak dua kali.

Dilahirkan di Guyana Perancis, Joan K. mengikuti abangnya di Avignon ketika dia berumur 16 tahun, sebelum mendaftar masuk dalam tentera.

Joan K. mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang dikenalinya di internet, tetapi hubungan mereka sering dicemari dengan banyak konflik, kata mahkamah.

Pada masa perpisahan mereka, pasangan Joan K. sedang hamil.

Pada November 2019, dia tidak hadir semasa kelahiran anak perempuannya sendiri ketika dia dipercayai merogol Gisele Pelicot di Mazan.

Digambarkan oleh penyiasat sebagai seorang lelaki yang cenderung kepada kemurungan, Joan K. dijangka akan dihadapkan ke mahkamah hujung minggu ini.

Mahkamah juga akan menilai pertuduhan terhadap Andy R., 37, Hugues M., 39, Husamettin D., 43, Mathieu D., 62, dan Fabien S., 39, yang masing-masing telah melawat rumah keluarga Pelicot sekali.

Gisele Pelicot telah menjadi ikon feminis 'segera' dan menerima pujian kerana menuntut agar perbicaraan dibuka kepada umum untuk meningkatkan kesedaran tentang penggunaan dadah dalam melakukan serangan seksual.

Ribuan penunjuk perasaan telah turun ke jalan raya untuk menyokongnya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE