fb fb fb fb fb

Angka korban serangan udara Israel di Lubnan meningkat hampir 500

FOTO AFP

ANKARA, 24 September- Angka korban akibat serangan udara Israel di selatan dan timur Lubnan pada Isnin meningkat kepada 492 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan Lubnan.

Seramai 58 wanita dan 35 kanak-kanak antara yang terkorban, selain 1,645 orang cedera, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan.

Menteri Kesihatan Firas Abiad berkata sebelum ini, serangan udara Israel memaksa ribuan penduduk melarikan diri dari selatan Lubnan ke arah utara, terutamanya mereka yang berada berhampiran kawasan sempadan.

Pihak berkuasa Lubnan memaklumkan mereka telah membuka sekolah dan institusi lain bagi menempatkan orang awam akibat serangan udara Israel di selatan negara itu.

Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri Bassam Mawlawi berkata beliau mengarahkan para gabenor untuk bekerjasama sepenuhnya dengan proses pemindahan besar-besaran dari wilayah selatan.

Tentera Israel pada Isnin mendakwa bahawa mereka menyerang lebih 1,100 sasaran Hezbollah di selatan dan timur Lubnan dalam tempoh 24 jam lepas.

Lebih 1,400 jenis peluru digunakan tentera Israel dalam 650 serangan udara melalui jet pejuang mereka di Lubnan.

Hizbullah dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan perang Israel di Gaza, yang kini meragut lebih 41,400 nyawa.

Masyarakat antarabangsa memberi amaran mengenai serangan di Lubnan, yang meningkatkan risiko konflik Gaza untuk merebak ke peringkat serantau.- BERNAMA-ANADOLU

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE