ANKARA, 24 September- Turkiye, antara pengkritik paling tegas dunia terhadap operasi ketenteraan Israel di Gaza. Negara itu akan menggunakan kesempatan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76 minggu ini untuk menyuarakan tindakan rejim zionis itu sebagai pembunuhan beramai-ramai, seterusnya mendesak tekanan antarabangsa ke atas Israel.
Presiden Turkiye Reccep Tayyip Erdogan dan beberapa menteri Turkiye akan mengambil bahagian dalam UNGA di New York, yang diadakan tatkala konflik rentas sempadan paling hebat antara Israel dan kumpulan Hizbullah di Lubnan, di samping perang Israel-Hamas di Gaza.
Anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Turkiye telah mengecam kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.
Turkiye menghentikan semua perdagangan dengan Israel serta meminta negara-negara lain bersatu menentang tindakan kejam Israel dan membawa ke Mahkamah Dunia.
Namun Israel berulang kali menolak kes pembunuhan beramai-ramai itu dan menganggap tuduhan itu sebagai tidak berasas.
Erdogan ketika berucap di perhimpunan pada Selasa itu terus menekankan bahawa Israel telah melakukan "pembunuhan beramai-ramai secara berterusandi Gaza" dan mengulangi gesaannya untuk memperbaharui struktur Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) agar lebih inklusif, kata sumber diplomatik Turkiye.
Delegasi Turkiye, termasuk Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan, akan memberi penekanan terhadap isu di Gaza dalam semua pertemuan dan hubungan dua halanya sepanjang minggu, tambah sumber itu.
Fidan pada Ahad menggesa rakan Islam di New York untuk menggunakan kenalan mereka minggu ini untuk mengetengahkan isu Gaza, kata sumber diplomatik itu.
Erdogan setakat ini telah bertemu dengan pemimpin Serbia dan Albania di New York. Sumber itu berkata beliau dan Fidan juga akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan usaha memerangi keganasan, pengantaraan, hubungan serantau dan pelaburan.- REUTERS