TOKYO, 3 November - Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, pada Isnin berkata, beliau telah memohon untuk bertemu dengan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, bagi menyelesaikan isu berlanjutan melibatkan rakyat Jepun yang diculik oleh Pyongyang beberapa dekad lalu.
Selepas bertahun-tahun menafikan, Korea Utara akhirnya mengakui pada tahun 2002 bahawa ejennya telah menculik 13 rakyat Jepun pada tahun 1970-an dan 1980-an, yang digunakan untuk melatih perisik Pyongyang dalam bahasa dan budaya Jepun.
Tokyo percaya bahawa sekurang-kurangnya 17 rakyat Jepun telah diculik oleh Korea Utara, manakala ada pihak lain berpendapat lebih ramai lagi mungkin telah dibawa ke Pyongyang.
Takaichi memberitahu demikian dalam satu program kesedaran mengenai isu tersebut di Tokyo, bahawa beliau telah memohon mengadakan pertemuan dengan Kim Jong Un.
“Bagi membina hubungan baharu yang bermanfaat antara Jepun dengan Korea Utara, saya bertekad untuk bertemu secara bersemuka dengan Pengerusi Kim Jong Un,” katanya.
Pyongyang bagaimanapun belum memberi sebarang maklum balas secara terbuka terhadap permintaan Takaichi itu.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Jepun telah cuba untuk mengadakan rundingan langsung dengan Kim berhubung isu berkenaan, namun gagal.
Dalam pada itu, Jepun menjalin hubungan erat dengan Amerika Syarikat, khususnya dengan Presiden Donald Trump bagi mengekalkan perhatian antarabangsa terhadap isu tersebut, menyaksikan Trump telah bertemu keluarga mangsa culik Jepun semasa lawatannya ke Tokyo minggu lalu.
“Saya akan menggunakan apa juga cara yang perlu dalam isu ini kerana ia melibatkan nyawa mangsa dan kedaulatan negara Jepun,” kata Takaichi.
“Kes penculikan ini juga merupakan keutamaan kabinet saya,” tambahnya sambil mengulangi janji-janji yang pernah dibuat oleh perdana menteri terdahulu.- AFP